Sunday, October 31, 2010

Jalan-jalan..

Minggu lepas, semasa  ke KL, saya sempat mengunjungi Central Market atau lebih dikenali sebagai Pasar Seni. Namanya pun dah tahu tempat itu adalah tempat hasil seni. Terdapat banyak hasil seni yang menarik dan unik telah dipamerkan dan  juga untuk dijual. Namun saya tertarik kepada hasil karya seni lukis, terlalu menakjubkan bagi saya apabila melihat karya tersebut. Untuk pengetahuan pembaca, gambar tersebut ada yang telah di tempah dan ada juga untuk dijual. Terdapat lukisan yang diimport dari India dan gambar yang diimport itu dihasilkan menggunakan batu permata. Harga sebuah karya mencecah ribuan ringgit. Melalui karya tersebut, saya menyedari betapa tingginya nilai sebuah karya, dan indahnya seni itu. Terpulang kepada diri sendiri untuk menilai  dan mentafsir maknanya. Jika ingin melihat lebih banyak karya yang menakjubkan berkunjunglah ke Central Market, anda pasti tercuit melihat karya-karya tersebut. Berikut adalah beberapa gambar yang sempat dirakam...

 




Discovery Learning

Ict dikatakan sebagai alat penerokaan apabila ICT digunakan untuk mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, internet dan juga portal maklumat. Selain itu, pelajar mengalami dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi. Dalam pembelajaran penerokaan juga, pelajar dapat mengawal maklumat yang diterima.
Pembelajaran ini juga menyokong pendekatan kontruktivisme iaitu memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelesaian masalah dalam masa yang sebenar. Contohnya pelajar sains boleh melayari web NASA KIDS bagi mendapatkan maklumat dalam bidang sains. Web ini boleh dilayari dimana-mana sahaja. Pendekatan ini boleh dilakukan secara individu mahupun berkumpulan.
Antara kelebihan pembelajaran penerokaan ialah pelajar berpeluang untuk menentukan haluan dan kemajuan pembelajaran masing-masing dan mendorong pelejar terlibat secara aktif dalam pembelajaran, pelajar juga berpeluang menangani masalah sendiri dalam kelas.

BENTUK-BENTUK ANCAMAN KEPADA SUMBER

1.1 HASIL DOMESTIK
Isu alam sekitar berkaitan dengan pembangunan adalah amat kompleks dan sukar untuk ditangani. Ini termasuklah sisa buangan dan pembentungan. Perkhidmatan pembentungan dan sisa buangan telah diswastakan untuk memperbaiki pengurusannya, namun ia masih lagi menyebabkan pencemaran air bawah tanah di kawasan pembuangan sampah. Selain itu bahagian permukaan yang kurang sesuai serta pembuangan sisa kumbahan daripada petempatan dan kemudahan rawatan kumbahan yang tidak mencukupi.
Kekurangan insentif dan dasar yang mewajibkan penggunaan semula menyebabkan sisa buangan tidak dapat dikurangkan. Kesannya kawasan pembuangan sampah semakin meningkat dan risiko pencemaran air dan air bawah tanah semakin meningkat.
Sampah sarap yang dibuang ke sungai akan terkumpul dan lumpur yang termendap dalam air akibat hakisan tanah menghalang kemasukan sinaran matahari ke dalam air. Ini menjejaskan tumbuh-tumbuhan dan hidupan air.
Pencemaran kumbahan terutama sekali dari domestik dan haiwan telah memberi kesan kualiti air. Terutama sekali di negeri Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sarawak dan beberapa muara sungai di Johor, Kedah, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan juga Terengganu. Adalah didapati kumbahan merupakan punca utama pencemaran organik kerana ia melebihi indeks pencemaran industri. Ini disebabkan oleh kepadatan penduduk yang tinggi, pelupusan najis manusia yang tidak teratur di kawasan setinggan, proses urbanisasi yang pesat, kawasan penempatan yang padat di sepanjang pantai dan kurang kemudahan untuk pengurusan kumbahan.

1.2 PEMBINAAN KAWASAN REKREASI
Kebanyakkan pusat rekreasi di bina di kawasan semulajadi terutamanya di pinggir pantai, tasik dan juga sungai. Ini kerana kawasan tersebut mempunyai keistimewaan sendiri contohnya suasana yang aman damai. Salah satu contoh adalah pusat rekreasi Taman Laut Pulau Layar di Pulau Langkawi. Kawasan ini semakin terancam akibat industri pelancongan. Di Pulau ini, banyak tumpahan minyak berlaku akibat penggunaan bot yang membawa pelancong masuk ke pulau. Pelancong yang ramai juga telah menyebabkan pertambahan sampah sarap di sekitar pantai sehinggakan mencemar kawasan perairan pantai. Begitu juga dengan pembinaan chalet dan hotel di tepi pantai telah menyebabkan laut tercemar akibat hakisan dan sisa kumbahan yang di alirkan ke laut.

Selain itu, aktiviti eko-pelancongan dan rekreasi menyebabkan pembinaan rumah tumpangan, chalet dan hotel dijalankan di tempat-tempat menarik. Pembinaan ini kadangkala melibatkan peneresan cerun bukit. Akibat diteres maka berlaku hakisan tanah sehingga mewujudkan mendakan tanah di kawasan perairan yang berdekatan. Contohnya pembinaan hotel di Genting Highlands dan juga bukit Fraser telah menyebabkan tanah runtuh dan pemendapan tanah di sungai akibat hakisan. Akibatnya air sungai menjadi cetek dan keruh.

1.3 AKTIVITI PERTANIAN
Aktiviti pertanian menyebabkan berlaku penerokaan hutan secara meluas. Aktiviti ini telah mengurangkan biodiversiti hutan. Hal ini menyumbang kepada hakisan tanah dan pemendapan sekaligus menyebabkan sumber air tercemar. Aktiviti pertanian dikatakan menyumbang kepada pencemaran air kerana kawasan hutan yang diterokai akan menjejaskan kawasan tadahan air. Seperti sedia maklum, kawasan tadahan air memainkan peranan penting untuk mengisi empangan dan membekalkan bekalan air kepada manusia.
Selain itu, kawasan yang diterokai mejadi botak kerana tidak mempunyai litupan tumbuhan. Apabila hujan turun, keadaan ini menyebabkan air larian permukaan yang laju sehingga ke sungai dan mewujudkan mendapan sehingga air sungai menjadi cetek dan keruh. Ia juga menghasilkan kelodak yang boleh memusnahkan habitat bagi larva serangga seperti mayfly yang menjadi makanan penting bagi ikan-ikan.
Aktiviti pertanian banyak menggunakan racun makhluk perosak. Malaysia adalah salah satu negara yang paling banyak menggunakan racun makhluk perosak yang intensif di Asia. Racun makhluk perosak yang disembur akan meresap masuk dan berkumpul di bawah tanah. Apabila hujan turun ia akan membawa racun ini ke sungai atau laut sehingga menyebabkan kualiti air terjejas.
Aktiviti penternakan haiwan yang tidak terkawal juga menjadi ancaman kepada sumber air. Sebagai contoh, ternakan khinzir yang tidak sistematik terutama sekali dari segi pengurusan sisa buangan haiwan tersebut. Pencemaran air yang disebabkan bahan buangan khinzir semakin ketara di negeri Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Contohnya, Sungai Linggi di Negeri Sembilan tercemar akibat industri ini dan memerlukan kos yang tinggi untuk pengolahan air bagi tujuan penggunaan domestic. Ia juga turut mencemarkan pantai Port Dickson akibat daripada aliran air sungai tercemar ke laut.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Haiwan, 95% ladang ternakan khinzir di Negeri Sembilan dan Selangor tidak mempunyai sistem pengurusan sisa buangan khinzir yang sistematik dan afektif. Kebanyakkan sisa akan disalurkan terus ke sungai. Akibatnya terdapat 13 batang sungai yang tercemar teruk antaranya ialah Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Sepang dan juga Sungai Skudai.

1.4 PEMBANGUNAN INDUSTRI
Salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi negara ialah malalui pembangunan industri. Namun hakikatnya, pembangunan dan pertumbuhan kilang yang pesat menjadi ancaman kepada sumber air bersih kerana ia menyebabkan pencemaran. Sebanyak 3799 industri dikenalpasti sebagai penyumbang utama pencemaran air.
Pencemaran air bawah tanah akibat pembangunan industri perlu ditangani secara sistematik. Terdapat banyak jenis sisa toksik seperti sulfur oksida, sianida dan arsenik. Sisa buangan ini perlu direkodkan mengikut jenis dan cara ia dilupuskan. Air sungai atau air laut yang mengandungi sisa toksik akan meracuni hidupan air.
Selain itu, terdapat kapal-kapal perdagangan yang membawa barangan eksport dan import melalui jalan air telah manyebabkan berlakunya tumpahan minyak di lautan. Minyak yang tertumpah akan menghalang kemasukan udara ke dalam air laut dan menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup di dalam laut tidak dapat bernafas dan akan mati. Kualiti air turut terjejas akibat tumpahan minyak.
Industri porselin menghasilkan bahan-bahan lengai dan halus yang senang terampai dalam air. Bahan terampai ini mengurangkan pemancaran cahaya masuk ke air, keadaan ini akan menyebabkan tumbuhan akuatik mengalami kerencatan dalam proses fosintesis. Begitu juga dengan industri besi keluli yang turut menjadi ancaman kepada sumber air. Industri ini turut menghasilkan partikel halus yang boleh menyebabkan air sungai yang dimasuki menjadi kehitaman. Partikel ini akan termendap ke dasar sungai dan menyelaput hidupan di dasar sungai.
Aktiviti perindustrian terus menjadi punca pencemaran air terutama sekali di Johor, Pulau Pinang dan Selangor. Industri utama yang menyumbang kepada pencemaran air ialah industri tekstil, getah, kertas, industri logam, industri elektronik dan juga industri makanan

1.5 AKTIVITI PERLOMBONGAN
Perlombongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi yang penting di negara kita. Namun tidak dapat dinafikan kegiatan ini turut menjadi ancaman kepada kualiti air. Adalah didapati perlombongan skala besar mahupun operasi kuari boleh menggangu sumber air. Ia mampu menyebabkan pemendapan yang teruk di bahagian hilir operasi dan menyebabkan saliran lombong berasid. Keadaan ini turut menjadi ancaman kepada ekologi marin.
Selain itu, perlombongan juga menyebabkan kemasinan ini berlaku apabila air lombong dilepaskan ke dalam air tawar. Sesetengah hidupan air akan musnah apabila air tawar menjadi payau. Aktiviti perlombongan menyebabkan air berasid. Contohnya, mata air yang keluar daripada rekahan bukit-bukit arang batu mengandungi sulphur dan partikel-partikel bitumen. Keadaan ini akan berterusan walaupun lombong telah ditinggalkan. Air tersebut akan memasuki anak-anak sungai dan menyebabkan sesetengah bacteria mendapat tenaga untuk menukarkan ferus kepada ferik untuk pernafasan dan pembiakan. Akibat penukaran tersebut, berlaku mendakan ferik hidroksida yang berwarna kuning kemerahan mencemar tebing sungai. Selain itu, kuantiti besi dan sulfat yang banyak akan mengurangkan kadar oksigen dalam air.

Penggunaan ICT dalam P&P

Dalam kajian bertajuk Sikap Guru Pelatih Terhadap Penggunaan ICT Di Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran didapati berdasarkan konsep sekolah bestari, pendekatan pengajaran dan pembelajaran harus bertukar kepada berpusatkan pelajar dan sumber. Pembelajaran berpusatkan sumber, lazimnya menonjolkan penggunaan teknologi pendidikan seperti projektor, televisyen, pita video sebagai medium komunikasi di dalam blik darjah. Selain itu, penggunaan komputer biasanya dipersembahkan dalam satu perisian yang diadakan bagi menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran mempunyai hubungan secara langsung dalam konsep penggunaan teknologi dalam pendidikan. Antara keberkesanan penggunaan teknologi seperti komputer dalam pengajaran dan pembelajaran ialah peningkatan kualiti dan tahap penguasaan pelajar, mengurangkan waktu yang digunakan oleh pelajar untuk mencapai suatu tujuan, meningkatkan keberkesanan guru dari segi jumlah penuntut yang diajar tanpa mengurangkan kualiti pembelajaran, mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti dan meningkatkan sikap berdikari pelajar dalam melaksanakan program pendidikan dan latihan.

Dalam kajian Tahap Penggunaan ICT Di Sekolah Dalam Kalangan Guru Pelatih, didapati penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran membolehkan potensi pelajar ditingkatkan sama ada jasmani, emosi, rohani dan intelek yang mana kekuatan daya fikiran dan penerapan nilai secara eksplisit dapat diketengahkan. Seiring dengan perubahan terkini aliran tersebut, bidang pendidikan juga telah menggunakan teknologi seperti komputer sebagai satu agen yang dapat membantu meningkatkan tahap pencapaian pengajaran dan pembelajaran. Contohnya pembinaan slide power point amat penting dalam meyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan penyampaian ilmu secara berkesan dan mampu menarik perhatian pelajar mengikut proses pembelajaran.

Perancangan Pengajaran & Model Reka Bentuk

Bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, kita haruslah merancang instruksi secara sistematik dan bahan bantu mengajar yang digunakan mampu memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Reka bentuk pengajaran ialah satu proses yang sistematik untuk mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran. Reka bentuk ini di gunakan untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Pengajaran yang berkesan membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan. Salah satunya adalah model ASSURE yang bertujuan menyediakan panduan merancang dan mengendalikan pengajaran yang menggunakan media.
Menurut Yusup Hashim (2001), terdapat enam langkah dalam modul ASSURE iaitu analisis ciri pelajar, nyatakan objektif, pilih kaedah, media dan bahan, gunakan media dan bahan, perlukan penglibatan pelajar, nlai dan semak semula media dan kaedah. Model ASSURE lebih memberi tumpuan kepada penggunaan media secara efektif dan sistematik dalam pengajaran bilik darjah. Model ASSURE menekankan kepentingan media dalam instruksi terutama dalam empat langkah terakhir. Setiap langkah tersebut memainkan peranan penting untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Kesimpulannya, penggunaan model reka bentuk pengajaran dalam P&P dengan berkesan membolehkan pelajar menerima maklumat dan kemahiran baru. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kaedah dan media dalam komponen sistem pengajaran. Komponen sistem pendidikan adalah salah satu domain penting dalam teknologi pendidikan.

ESEI SENI


SENI TEKSTIL
Seni adalah hasil karya manusia yang kreatif.  Definisi seni sukar ditakrifkan kerana setiap karya seni mempunyai maksud dan nilai tersendiri. Seni juga dikatakan sebagai medium untuk menyampaikan idea, perasaan, kepercayaan dalam bentuk karya atau apa jua bentuk. Setiap individu mempunyai pandangan sendiri terhadap seni. Terdapat banyak bidang yang terangkum dalam seni contohnya seni tari, seni tekstil, seni lukis, seni halus, seni sastera, muzik, seni lakon, seni bela diri, masakan, dan teater.
            Penulisan ini memberi penekanan kepada seni tekstil. Antara seni tekstil yang terdapat di Malaysia ialah batik, tenunan dan tekat.  Seni tekstil di negara kita telah berkembang sekian lama namun, generasi kini kurang mendapat pendedahan mengenai seni tekstil.  Bagaimanapun kerajaan telah mengambil langkah inisiatif untuk mempromosikan tekstil negara kita. Sebagai contoh, kakitangan awam diwajibkan memakai pakaian berkonsep batik pada setiap hari khamis. Selain itu pakaian pramugari kapal terbang MAS juga diperbuat daripada batik.
            Sejak abad ke 15, manusia telah menemui kaedah tradisional membuat batik.  Namun batik diperkenalkan secara khusus di Malaysia pada tahun 1910 di Kelantan. Kini kebanyakkan kilang perusahaan batik terdapat di Kelantan dan Terengganu.  Setiap batik mempunyai motif tersendiri. Motif batik terbahagi kepada dua iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif organik  mempunyai unsur semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan, bunga (motif bunga buluh, bunga orkid dan Bunga Raya), haiwan (motif siput, ayam dan rama-rama) dan juga bentuk awan larat. Manakala motif  geometri ialah motif pucuk rebung dan bunga kotak bercampur.  Manakala corak yang sering digunakan ialah corak berdiri, melintang, menyeluruh dan menyerong.
            Alatan yang digunakan untuk membuat batik adalah seperti blok penerap, campuran lilin, pencelup dan sebuah meja. Batik boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu batik blok, batik conteng dan batik skrin. Batik digunkan secara meluas di Malaysia. Antara kegunaan batik ialah untuk membuat pakaian, kain sarung, alas meja, cadar dan alas televisyen. Batik amat digemari oleh pelancong asing dan sering dijadikan cenderamata.                                                        


          
                                               Rajah 1 : Contoh motif  organik pada kain batik.
Dalam seni tekstil, tenun biasa adalah tenunan yang digunakan oleh masyarakat biasa yang diperbuat daripada bahan benang kapas. Sekiranya benang sutera digunakan maka harga yang dikenakan agak mahal. Tenunan kapas adalah tenunan pertama yang diperkenalkan di Kelantan. Jenis-jenis tenunan juga dikenali sebagai tenunan bercorak kerana tidak mempunyai motif  kecuali ruang, petak dan jaluran. Ragamhias pula terdiri dari corak dan sedikit diselitkan bening emas.
 Kain bercorak yang terkenal ialah corak Muar dengan menggunakan warna-warna dari cahaya muda dalam bentuk susunan petak dam. Warna yang sering digunakan kelabu, merah samar,  jingga muda,  putih, biru laut,  hijau laut dan kuning susu. Manakala kain corak Bugis di hiaskan dengan corak susunan catur yang sederhana tetapi terdapat banyak variasi. Warna yang sering digunakan ialah sebagai latar ialah hijaun dan merah. Manakala kain Samarenda dipenuhi  dengan ruang lebar yang melintang serta berlatarkan warna gelap seperti ungu tua dan hitam sebagai tanah kain.
kain tenun dihasilkan mengikut dasar tenunan tetapi tanpa menggunakan teknik menyulam. Corak-corak kain ditentukan oleh benang-benang loseng yang telah disusun sejak proses mengani. Penggunaan benang loseng dan pakan akan menentukan serta menimbulkan corak geometri asli dengan bentuk kotak persegi panjang, garis lurus dan melintang. Seni tenunan terbahagi kepada tiga iaitu tenunan biasa, tenunan benang ikat celup dan songket. Tenunan biasa adalah tenunan daripada benang kapas dan tenunan paling awal dihasilkan. Manakala tenunan benang ikat celup digunakan di istana raja-raja. Penghasilannya juga amat rumit terutama sekali semasa menyonket solek dan kain yang digunakan dari kain benang emas.  Songket biasanya digunakan oleh golongan atasan. Antara kegunaannya ialah membuat tanjak, samping dan juga persalinan diraja. Namun pada masa kini songket juga digunakan oleh masyarakat biasa seperti baju pengantin, beg tangan, perhiasan dinding dan juga apa-apa jua kegunaan mengikut keupayaan pengusaha menghasilkan barangan daripada songket.     
                                                                   Rajah 2:  Contoh Tenunan
Tekat juga merupakan salah satu seni tekstil  yang dihasilkan melalui sulaman benang emas ke atas kain dasar jenis baldu. Proses menekat ini juga dikenali sebagai “sulaman timbul” atau “suji timbul”. Tekatan biasanya digunakan untuk membuat kasut, muka bantal dan sarung tapak sireh. Ia juga biasa digunakan sebagai perhiasan semasa upacara perkahwinan dan pertabalan diraja.




                                                             Rajah 3: Contoh Tekat
Kesimpulannya, penghasilan tekstil telah menjadikan industri negara semakin berkembang. Kekreatifan juga telah menghasilkan seni tekstil  yang mempunyai nilai tersendiri. Dalam kehidupan seharian, manusia amat memerlukan tekstil untuk dijadikan pakaian, maka tanpa tekstil keperluan manusia tidak mampu dipenuhi. Seni tekstil yang ada perlu di pergiatkan dan dipromosi agar tidak tenggelam dalam arus kemajuan. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah menyokong industri tekstil negara dan menghargai seni tekstil

Wednesday, October 27, 2010

Akhirnya.......

akhirnya ku menemukan mu,
saat hati ini mulai merapuh,
akhirnya ku menemukan mu,
saat raga ini ingin berlabuh,

ku berharap engkaulah jawapan segala risau hatiku,
dan biarkan diriku mencintaimu hingga hujung usiaku,
jika nanti ku sanding dirimu,
miliki aku dengan segala kelemahanku,
dan bila nanti engkau disampingku,
jangan pernah letih untuk mencintaiku...........

        by: *naff-isyarat hati-akhirnya*  ^_^

Mari belajar bahasa peribumi Sabah


Bahasa Melayu
Bahasa Dusun
Bahasa Rungus
Bahasa Murut
Selamat Pagi
Kopivosian dongosuap
Kopivosian Sasarap
Kaansayan Ra Susuav
Selamat Petang
Kopivosian Minsosodop
Kopivosian Minsosodop
Kaansayan Ra maie
Selamat Malam
Kopivosian Dongotuong
Salamat Sodop
Kaansayan Ra Londom
Apa Khabar?
Nunu Habar Nu?
Nunu Habal?
Onsoi ko Ki?
Khabar Baik
Osong Ie
Habal Tavantang
Onsoi Yak
Kamu sedang buat apa?
Nu Wonsoyon Nu
Nunu Gamon Nu
Aun valin Nu
Kamu hendak pergi ke mana
Hinonggo pakayaan Nu
Sumongi Ko
Aun Kuwoiyon Mu
Kamu datang dari mana
Hinonggo Tadon Nu
Songi Antad Nu
Aun Intor Nu
Kamu sudah makan
Nakakan Kono?
Nakakan Kono?
Nagakan Ko Noyo Ki
Boleh saya berkenalan?
Milo Oku Mintutun Dika
Mintutun Oku Dikau
Obuli Ki Auw Sumindangan Riyun
Kamu cantik
Alawa kono
Avasi Ko
Asandong Ko Am
Saya suka kamu
Orohiyan Oku Dika
Oingin Oku Dikau
Asiha Auh Riyun
Saya sayang kamu
Muhang Oku Dika
Samadan Oku Dikau
Ahinga Auh Riyun
Siapa Nama Kamu
Isai Ngaran Nu?
Isai Ngaran Nu?
Aun Ingalan Mu?

Tuesday, October 26, 2010

Suatu Kebetulan..

Seringkali kita mengucapkan perkataan "kebetulan" apabila mengalami sesuatu yang luar biasa. Dan sememangnya hidup manusia ini memang banyak yang kebetulan. Sewaktu saya mencari buku di perpustakaan, sy terjumpa satu buku yang bertajuk "Small Miracles". Dalam buku tersebut terdapat 68 kisah nyata yang berlaku kebetulan yang tidak diduga akan berlaku.Bagi saya kisah-kisah yang terdapat dalam buku itu mampu memberikan pengajaran dan peringatan yang baik dalam melalui kehidupan di bumi Tuhan. Oleh itu tergerak di hati saya untuk berkongsi salah satu kisah nyata dalam buku tersebut.

Bacalah kisah ini....
Setiap hari minggu pagi, tepat pukul sembilan, kedua puluh anggota paduan suara gereja itu akan berkumpul   di kapel Gereja Baptis Selatan mereka yang kecil, untuk latihan terakhir sebelum kebaktian dimulai. Para anggota paduan suara adalah orang-orang lama yang penuh dedikasi, disiplin dan selalu tepat pada waktu. pada satu minggu pagi, suasana tenang kota di selatan yang damai itu sekonyong-konyong dipecahkan oleh sebuah ledakan membahanakan. penduduk berlarian ke luar rumah untuk melihat apa yang terjadi. Dengan  terperanjat mereka melihat api berkobar dari jendela-jendela gereja kecil itu. Mereka pun memeriksa pukul berapa saat itu, semua orang melihat jam tangan, jam didinding dapur, weker di meja kecil di kamar. Saat itu jam menunjukkan pukul 9.10 minit. Suara ratapan, jeritan dan sentakan nafas memenuhi segala udara, sementara para penduduk berlari ke arah bangunan gereja. Para pemadam kebakaran sukarela yang tiba beberapa minit terlebih dahulu mengeleng-geleng kepala dengan sedih ketika orang-orang itu tiba. Dalam beberapa detik gereja itu habis dijilat api. "Mungkin ledekan gas," kata salah seorang petugas pemadam. " Kejadiannya begitu cepat. Takkan ada anggota paduan suara yang sempat keluara pada waktunya. Maaf, kelihatanya tidak ada satu pun yang selamat." Semua orang memperlihatkan reaksi yang berbeza-beza. Ada yang menundukkan kepala dan membalikkan tubuh dalam diam, sangat sedih. Beberapa wanita jatuh ke rumput yang gosong terbakar. Lainnya saling berpelukan dan menangis memilukan. Dalam keadaan lumpuh oleh rasa sedih, tak ada yang menyedari kedatangan mendadak 20 kereta yang berhenti bersama di tempat parking gereja. Tak ada yang memperlihatkan kedua 20 sosok dalam pakaian merah yang berlarian ke arah   gereja.
"Hei, ada apa?" mereka mendengar suara alto yang sudah begitu akrab itu bertanya, memecah keheningan yang melingkupi orang-orang yang sedang  berduka.
"Yeah, ada apa ini?" sebuah suara lain menyusul, suara suprano yang manis dan juga amat mereka kenal.
" Ya  Tuhan, gerejanya hancur!" seru sebuah suara bariton yang tidak dilupakan.
Dengan penuh kehairanan dan tidak percaya, para penduduk menatap pemandangan ajaib itu, ke 20 anggota paduan suara semuanya hidup dan sihat melangakah ke arah mereka.
Untuk pertama kali dalam 12 tahun berlatih menyanyi, semua anggota paduan suara itu datang terlambat kerana alasan yang berbeza dan tidak saling berkaitan.

Jadi dalam kisah ini, apa yang kita fikirkan....semua itu berlaku kerana kebetulan dan bukan dirancang...

Warna Hidup





Hidup manusia dicorakkan dengan adunan pelbagai warna. Warna datang silih berganti dan saling melengkapi. Kadang hitam, kadang putih, kadang merah, kadang kuning. Namun ia tidak bertindak bersendirian, kerana hadirnya putih diikuti dengan hitam, dan warna-warna lain. Tidak dapat dibayangkan jika dunia ini tidak pernah mengenal warna. Pada zahirnya, orang buta barangkali manusia yang tidak banyak melihat warna, deria penglihatannya hanya dapat menangkap warna hitam. Sekurang-kurangnya mereka mengenal satu warna, kerana  warna  hitam itu juga merupakan sebahagian daripada anggota warna. Apa yang pasti, hidup mereka tidak kosong dan gelap. Si buta juga mampu merasai semarak warna riang, warna kemarahan, dan sebahagian besarnya mungkin warna kesucian. Tuhan menciptakan manusia dengan limpahan warna. Itulah seni yang paling asas dalam hidup. Tuhan kadang memberikan manusia kesempatan untuk memilih warna yang terbaik dalam hidup, tapi ada ketikanya Tuhan mengecat  hidup kita dengan  warna yang kurang disenangi.  Namun Tuhan mampu melihat jauh ke depan, dan Dia tahu ada ketikanya kita harus menghadapi warna kelam agar kita dapat menikmati warna hidup yang lebih baik…

Monday, October 25, 2010

Jenis Pantun

    Pantun Enam Kerat

Kota lukut tempat semayam,
Raja haji datang mengepung,
Banyak pedati ikut bersama,
Jangan ikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung,
Mengagung bukti sebesar hama


Kalau anak pergi ke rantau,
Yu beli belanak pun beli,
Ikan parang beli dahulu,
Kalau anak pergi merantau,
Ibu cari sanak pun cari,
Induk semang cari dahulu.

   Pantun Lapan Kerat

Sarang merbah di celah dahan,
Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejar anak rusa,
Tampak dari tanah seberang,
Bersyukurlah aku pada Tuhan,
Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Harap pada kasihan orang.


Orang belayar dalam perahu,
Haluan menuju ke Batu Bara,
Sarat bermuat kain kapas,
Kapas dibawa dari darat,
kasih tuan hambalah tahu,
Bagai orang menggenggam bara,
Rasa hangat hendak dilepas,
Begitu benar kias ibarat.




Adat & Budi

        Pantun Adat

Anak Teruna tiba di darat,
Dari Makasar langsung ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Berbuah lebat pohon mempelam,
Rasanya manis dimakan sedap,
Bersebarlah adat seluruh alam,
Adat pusaka berpedoman kitab.

      Pantun Perantau

Tudung saji hanyut terapung,
Disulam mari dengan benang,
Hajat dihati pulang ke kampung,
Lautan luas tidak terenang.

Anak enggang di ranting mati,
Patah ranting terbanglah ia,
Anak dagang tak lama di sini,
Habis musim pulanglah ia.

      Pantun Budi

Tanam lenggun tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati,
Budi tuan saya tidak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali,
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Pantun

Puisi lama adalah pancaran masyarakat lama. kita dapat memahami masyarakat lama apabila mengkaji dan menghayati puisi lama. Puisi lama dimulakan dengan pantun. Ini kerana pantun adalah bentuk puisi lama yang paling popular. Alasan yang menyebabkan pantun menjadi popular kerana bentuknya mudah atau bersahaja. Pantun juga mudah digubah dan mudah pula diingati. Antara pantun yang biasa didengari adalah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun berkait, pantun enam kerat dan pantun lapan kerat. Pantun empat kerat merupakan pantun yang paling popular.

    Pantun Nasihat

Ke hulu membuat pagar,
Jangan terpotong batang durian,
Cari guru tempat belajar,
Supaya jangan sesal kemudian.

Padi muda jangan dilurut,
kalau dilurut pecah batang,
Hati muda jangan diturut,
kalau diturut salah datang.