Sunday, October 31, 2010

BENTUK-BENTUK ANCAMAN KEPADA SUMBER

1.1 HASIL DOMESTIK
Isu alam sekitar berkaitan dengan pembangunan adalah amat kompleks dan sukar untuk ditangani. Ini termasuklah sisa buangan dan pembentungan. Perkhidmatan pembentungan dan sisa buangan telah diswastakan untuk memperbaiki pengurusannya, namun ia masih lagi menyebabkan pencemaran air bawah tanah di kawasan pembuangan sampah. Selain itu bahagian permukaan yang kurang sesuai serta pembuangan sisa kumbahan daripada petempatan dan kemudahan rawatan kumbahan yang tidak mencukupi.
Kekurangan insentif dan dasar yang mewajibkan penggunaan semula menyebabkan sisa buangan tidak dapat dikurangkan. Kesannya kawasan pembuangan sampah semakin meningkat dan risiko pencemaran air dan air bawah tanah semakin meningkat.
Sampah sarap yang dibuang ke sungai akan terkumpul dan lumpur yang termendap dalam air akibat hakisan tanah menghalang kemasukan sinaran matahari ke dalam air. Ini menjejaskan tumbuh-tumbuhan dan hidupan air.
Pencemaran kumbahan terutama sekali dari domestik dan haiwan telah memberi kesan kualiti air. Terutama sekali di negeri Pahang, Perak, Pulau Pinang, Sarawak dan beberapa muara sungai di Johor, Kedah, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan juga Terengganu. Adalah didapati kumbahan merupakan punca utama pencemaran organik kerana ia melebihi indeks pencemaran industri. Ini disebabkan oleh kepadatan penduduk yang tinggi, pelupusan najis manusia yang tidak teratur di kawasan setinggan, proses urbanisasi yang pesat, kawasan penempatan yang padat di sepanjang pantai dan kurang kemudahan untuk pengurusan kumbahan.

1.2 PEMBINAAN KAWASAN REKREASI
Kebanyakkan pusat rekreasi di bina di kawasan semulajadi terutamanya di pinggir pantai, tasik dan juga sungai. Ini kerana kawasan tersebut mempunyai keistimewaan sendiri contohnya suasana yang aman damai. Salah satu contoh adalah pusat rekreasi Taman Laut Pulau Layar di Pulau Langkawi. Kawasan ini semakin terancam akibat industri pelancongan. Di Pulau ini, banyak tumpahan minyak berlaku akibat penggunaan bot yang membawa pelancong masuk ke pulau. Pelancong yang ramai juga telah menyebabkan pertambahan sampah sarap di sekitar pantai sehinggakan mencemar kawasan perairan pantai. Begitu juga dengan pembinaan chalet dan hotel di tepi pantai telah menyebabkan laut tercemar akibat hakisan dan sisa kumbahan yang di alirkan ke laut.

Selain itu, aktiviti eko-pelancongan dan rekreasi menyebabkan pembinaan rumah tumpangan, chalet dan hotel dijalankan di tempat-tempat menarik. Pembinaan ini kadangkala melibatkan peneresan cerun bukit. Akibat diteres maka berlaku hakisan tanah sehingga mewujudkan mendakan tanah di kawasan perairan yang berdekatan. Contohnya pembinaan hotel di Genting Highlands dan juga bukit Fraser telah menyebabkan tanah runtuh dan pemendapan tanah di sungai akibat hakisan. Akibatnya air sungai menjadi cetek dan keruh.

1.3 AKTIVITI PERTANIAN
Aktiviti pertanian menyebabkan berlaku penerokaan hutan secara meluas. Aktiviti ini telah mengurangkan biodiversiti hutan. Hal ini menyumbang kepada hakisan tanah dan pemendapan sekaligus menyebabkan sumber air tercemar. Aktiviti pertanian dikatakan menyumbang kepada pencemaran air kerana kawasan hutan yang diterokai akan menjejaskan kawasan tadahan air. Seperti sedia maklum, kawasan tadahan air memainkan peranan penting untuk mengisi empangan dan membekalkan bekalan air kepada manusia.
Selain itu, kawasan yang diterokai mejadi botak kerana tidak mempunyai litupan tumbuhan. Apabila hujan turun, keadaan ini menyebabkan air larian permukaan yang laju sehingga ke sungai dan mewujudkan mendapan sehingga air sungai menjadi cetek dan keruh. Ia juga menghasilkan kelodak yang boleh memusnahkan habitat bagi larva serangga seperti mayfly yang menjadi makanan penting bagi ikan-ikan.
Aktiviti pertanian banyak menggunakan racun makhluk perosak. Malaysia adalah salah satu negara yang paling banyak menggunakan racun makhluk perosak yang intensif di Asia. Racun makhluk perosak yang disembur akan meresap masuk dan berkumpul di bawah tanah. Apabila hujan turun ia akan membawa racun ini ke sungai atau laut sehingga menyebabkan kualiti air terjejas.
Aktiviti penternakan haiwan yang tidak terkawal juga menjadi ancaman kepada sumber air. Sebagai contoh, ternakan khinzir yang tidak sistematik terutama sekali dari segi pengurusan sisa buangan haiwan tersebut. Pencemaran air yang disebabkan bahan buangan khinzir semakin ketara di negeri Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Contohnya, Sungai Linggi di Negeri Sembilan tercemar akibat industri ini dan memerlukan kos yang tinggi untuk pengolahan air bagi tujuan penggunaan domestic. Ia juga turut mencemarkan pantai Port Dickson akibat daripada aliran air sungai tercemar ke laut.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Haiwan, 95% ladang ternakan khinzir di Negeri Sembilan dan Selangor tidak mempunyai sistem pengurusan sisa buangan khinzir yang sistematik dan afektif. Kebanyakkan sisa akan disalurkan terus ke sungai. Akibatnya terdapat 13 batang sungai yang tercemar teruk antaranya ialah Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Sepang dan juga Sungai Skudai.

1.4 PEMBANGUNAN INDUSTRI
Salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi negara ialah malalui pembangunan industri. Namun hakikatnya, pembangunan dan pertumbuhan kilang yang pesat menjadi ancaman kepada sumber air bersih kerana ia menyebabkan pencemaran. Sebanyak 3799 industri dikenalpasti sebagai penyumbang utama pencemaran air.
Pencemaran air bawah tanah akibat pembangunan industri perlu ditangani secara sistematik. Terdapat banyak jenis sisa toksik seperti sulfur oksida, sianida dan arsenik. Sisa buangan ini perlu direkodkan mengikut jenis dan cara ia dilupuskan. Air sungai atau air laut yang mengandungi sisa toksik akan meracuni hidupan air.
Selain itu, terdapat kapal-kapal perdagangan yang membawa barangan eksport dan import melalui jalan air telah manyebabkan berlakunya tumpahan minyak di lautan. Minyak yang tertumpah akan menghalang kemasukan udara ke dalam air laut dan menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup di dalam laut tidak dapat bernafas dan akan mati. Kualiti air turut terjejas akibat tumpahan minyak.
Industri porselin menghasilkan bahan-bahan lengai dan halus yang senang terampai dalam air. Bahan terampai ini mengurangkan pemancaran cahaya masuk ke air, keadaan ini akan menyebabkan tumbuhan akuatik mengalami kerencatan dalam proses fosintesis. Begitu juga dengan industri besi keluli yang turut menjadi ancaman kepada sumber air. Industri ini turut menghasilkan partikel halus yang boleh menyebabkan air sungai yang dimasuki menjadi kehitaman. Partikel ini akan termendap ke dasar sungai dan menyelaput hidupan di dasar sungai.
Aktiviti perindustrian terus menjadi punca pencemaran air terutama sekali di Johor, Pulau Pinang dan Selangor. Industri utama yang menyumbang kepada pencemaran air ialah industri tekstil, getah, kertas, industri logam, industri elektronik dan juga industri makanan

1.5 AKTIVITI PERLOMBONGAN
Perlombongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi yang penting di negara kita. Namun tidak dapat dinafikan kegiatan ini turut menjadi ancaman kepada kualiti air. Adalah didapati perlombongan skala besar mahupun operasi kuari boleh menggangu sumber air. Ia mampu menyebabkan pemendapan yang teruk di bahagian hilir operasi dan menyebabkan saliran lombong berasid. Keadaan ini turut menjadi ancaman kepada ekologi marin.
Selain itu, perlombongan juga menyebabkan kemasinan ini berlaku apabila air lombong dilepaskan ke dalam air tawar. Sesetengah hidupan air akan musnah apabila air tawar menjadi payau. Aktiviti perlombongan menyebabkan air berasid. Contohnya, mata air yang keluar daripada rekahan bukit-bukit arang batu mengandungi sulphur dan partikel-partikel bitumen. Keadaan ini akan berterusan walaupun lombong telah ditinggalkan. Air tersebut akan memasuki anak-anak sungai dan menyebabkan sesetengah bacteria mendapat tenaga untuk menukarkan ferus kepada ferik untuk pernafasan dan pembiakan. Akibat penukaran tersebut, berlaku mendakan ferik hidroksida yang berwarna kuning kemerahan mencemar tebing sungai. Selain itu, kuantiti besi dan sulfat yang banyak akan mengurangkan kadar oksigen dalam air.

0 comments:

Post a Comment