Sunday, October 31, 2010

ESEI SENI


SENI TEKSTIL
Seni adalah hasil karya manusia yang kreatif.  Definisi seni sukar ditakrifkan kerana setiap karya seni mempunyai maksud dan nilai tersendiri. Seni juga dikatakan sebagai medium untuk menyampaikan idea, perasaan, kepercayaan dalam bentuk karya atau apa jua bentuk. Setiap individu mempunyai pandangan sendiri terhadap seni. Terdapat banyak bidang yang terangkum dalam seni contohnya seni tari, seni tekstil, seni lukis, seni halus, seni sastera, muzik, seni lakon, seni bela diri, masakan, dan teater.
            Penulisan ini memberi penekanan kepada seni tekstil. Antara seni tekstil yang terdapat di Malaysia ialah batik, tenunan dan tekat.  Seni tekstil di negara kita telah berkembang sekian lama namun, generasi kini kurang mendapat pendedahan mengenai seni tekstil.  Bagaimanapun kerajaan telah mengambil langkah inisiatif untuk mempromosikan tekstil negara kita. Sebagai contoh, kakitangan awam diwajibkan memakai pakaian berkonsep batik pada setiap hari khamis. Selain itu pakaian pramugari kapal terbang MAS juga diperbuat daripada batik.
            Sejak abad ke 15, manusia telah menemui kaedah tradisional membuat batik.  Namun batik diperkenalkan secara khusus di Malaysia pada tahun 1910 di Kelantan. Kini kebanyakkan kilang perusahaan batik terdapat di Kelantan dan Terengganu.  Setiap batik mempunyai motif tersendiri. Motif batik terbahagi kepada dua iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif organik  mempunyai unsur semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan, bunga (motif bunga buluh, bunga orkid dan Bunga Raya), haiwan (motif siput, ayam dan rama-rama) dan juga bentuk awan larat. Manakala motif  geometri ialah motif pucuk rebung dan bunga kotak bercampur.  Manakala corak yang sering digunakan ialah corak berdiri, melintang, menyeluruh dan menyerong.
            Alatan yang digunakan untuk membuat batik adalah seperti blok penerap, campuran lilin, pencelup dan sebuah meja. Batik boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu batik blok, batik conteng dan batik skrin. Batik digunkan secara meluas di Malaysia. Antara kegunaan batik ialah untuk membuat pakaian, kain sarung, alas meja, cadar dan alas televisyen. Batik amat digemari oleh pelancong asing dan sering dijadikan cenderamata.                                                        


          
                                               Rajah 1 : Contoh motif  organik pada kain batik.
Dalam seni tekstil, tenun biasa adalah tenunan yang digunakan oleh masyarakat biasa yang diperbuat daripada bahan benang kapas. Sekiranya benang sutera digunakan maka harga yang dikenakan agak mahal. Tenunan kapas adalah tenunan pertama yang diperkenalkan di Kelantan. Jenis-jenis tenunan juga dikenali sebagai tenunan bercorak kerana tidak mempunyai motif  kecuali ruang, petak dan jaluran. Ragamhias pula terdiri dari corak dan sedikit diselitkan bening emas.
 Kain bercorak yang terkenal ialah corak Muar dengan menggunakan warna-warna dari cahaya muda dalam bentuk susunan petak dam. Warna yang sering digunakan kelabu, merah samar,  jingga muda,  putih, biru laut,  hijau laut dan kuning susu. Manakala kain corak Bugis di hiaskan dengan corak susunan catur yang sederhana tetapi terdapat banyak variasi. Warna yang sering digunakan ialah sebagai latar ialah hijaun dan merah. Manakala kain Samarenda dipenuhi  dengan ruang lebar yang melintang serta berlatarkan warna gelap seperti ungu tua dan hitam sebagai tanah kain.
kain tenun dihasilkan mengikut dasar tenunan tetapi tanpa menggunakan teknik menyulam. Corak-corak kain ditentukan oleh benang-benang loseng yang telah disusun sejak proses mengani. Penggunaan benang loseng dan pakan akan menentukan serta menimbulkan corak geometri asli dengan bentuk kotak persegi panjang, garis lurus dan melintang. Seni tenunan terbahagi kepada tiga iaitu tenunan biasa, tenunan benang ikat celup dan songket. Tenunan biasa adalah tenunan daripada benang kapas dan tenunan paling awal dihasilkan. Manakala tenunan benang ikat celup digunakan di istana raja-raja. Penghasilannya juga amat rumit terutama sekali semasa menyonket solek dan kain yang digunakan dari kain benang emas.  Songket biasanya digunakan oleh golongan atasan. Antara kegunaannya ialah membuat tanjak, samping dan juga persalinan diraja. Namun pada masa kini songket juga digunakan oleh masyarakat biasa seperti baju pengantin, beg tangan, perhiasan dinding dan juga apa-apa jua kegunaan mengikut keupayaan pengusaha menghasilkan barangan daripada songket.     
                                                                   Rajah 2:  Contoh Tenunan
Tekat juga merupakan salah satu seni tekstil  yang dihasilkan melalui sulaman benang emas ke atas kain dasar jenis baldu. Proses menekat ini juga dikenali sebagai “sulaman timbul” atau “suji timbul”. Tekatan biasanya digunakan untuk membuat kasut, muka bantal dan sarung tapak sireh. Ia juga biasa digunakan sebagai perhiasan semasa upacara perkahwinan dan pertabalan diraja.




                                                             Rajah 3: Contoh Tekat
Kesimpulannya, penghasilan tekstil telah menjadikan industri negara semakin berkembang. Kekreatifan juga telah menghasilkan seni tekstil  yang mempunyai nilai tersendiri. Dalam kehidupan seharian, manusia amat memerlukan tekstil untuk dijadikan pakaian, maka tanpa tekstil keperluan manusia tidak mampu dipenuhi. Seni tekstil yang ada perlu di pergiatkan dan dipromosi agar tidak tenggelam dalam arus kemajuan. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah menyokong industri tekstil negara dan menghargai seni tekstil

0 comments:

Post a Comment